SAMB sumbang kerusi roda khas untuk keselesaan Nurul Hidayah

Syukur alhamdulillah dan terima kasih SAMB, YB dan Datuk Bandar

SAMB sumbang kerusi roda khas untuk keselesaan Nurul Hidayah

KOTA LAKSAMANA 6 Feb – Tiada apa yang dapat menggembirakan hati seorang ibu selain melihat anak perempuannya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) akibat sawan diberi keselesaan kerusi roda baharu.

Kerusi roda khas yang baharu itu disumbangkan oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk meringankan beban Rusmah Mat Ali, 40 dan enam cahaya mata yang hanya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami sebagai penarik beca.

Rusma berkata meskipun anak ketiga daripada enam adik-beradik itu mengalami kecacatan fizikal dan tidak mampu berbuat sebarang pergerakan namun kerusi baharu khas yang diberikan itu dapat memberikan keselesaan kepada Nurul Hidayah Dayana Mohd Shahril, 17.

Jelasnya, Nurul Hidayah dilahirkan normal namun ketika berusia satu tahun, anak perempuannya mula diserang sawan sehingga hampir setiap bulan terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Sawan yang menyerang itu menyebabkan kadangkala dia menghentakkan kepala ke lantai dan mengalami kancing gigi.

“Keadaan itu berlarutan sehingga dia berusia 14 tahun,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan kerusi roda khas oleh SAMB di kediamannya di Pangsapuri Al-Ihsan di Taman Kenanga di sini.

Sumbangan kerusi roda baharu itu disampaikan oleh Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong serta dihadiri oleh Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Halim Bachik dan Datuk Bandar Melaka, Datuk Mansor Sudin.

Rusma berkata dia dan suami terpaksa bergilir-gilir mengambil alih tugas menjaga Nurul Hidayah untuk menyara kehidupan.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 dan Bantuan Kanak-kanak (BKK) berjumlah RM150 sebulan.

“Sedikit-sebanyak ia dapat mengurangkan beban kami sekeluarga dan kadang-kadang yang menjalankan kerja separuh masa menggantikan rakan di kantin sekolah, dapatlah RM30 hingga RM40 sehari,” katanya.

CATEGORIES