Sambut Aidilfitri di hotel, resort bukan perkara baharu

Sambut Aidilfitri di hotel, resort bukan perkara baharu

MELAKA 18 Jun – Menginap di hotel dan resort pada sambutan Aidilfitri bagi kebanyakan perantau bukan satu perkara yang baharu di negeri ini.

Mencari keselesaan disebabkan bilangan anggota keluarga yang ramai antara faktor menyebabkan mereka memilih untuk menginap di hotel pada hari lebaran.

Zahari Ismail, 35, pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur berkata, beliau memilih untuk menginap di hotel tiga bintang di Ayer Keroh di sini setiap kali pulang beraya di Semabok kerana ingin memberi lebih keselesaan kepada anggota keluarga yang lain.

“Saya ada tujuh adik-beradik dan semua balik beraya di kampung jadi untuk hari raya pertama dan kedua saya memilih untuk menginap di hotel bagi memberi lebih keselesaan kepada adik-beradik yang lain,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, mereka hanya menjadikan hotel sebagai tempat untuk tidur sahaja dan masih tetap beraya di rumah keluarga di Semabok dari awal pagi hingga lewat malam.

Sementara itu, Norhafizah Saidin, 47, berkata, ini adalah kali pertama beliau akan beraya di sebuah resort di Bukit Katil di sini apabila suaminya, seorang penjawat awam terpaksa bertugas di pagi raya.

“Pada tahun ini tidak boleh balik raya ke kampung di Lekir, Perak kerana terpaksa menemani suami bertugas pada pagi raya.

“Saya dan suami mengambil keputusan untuk beraya di resort bagi menceriakan anak tunggal kami berusia sembilan tahun bagi menyambut 1 Syawal bersama-sama,” katanya yang juga bertugas sebagai penjawat awam di ibu negara.

Bagi ibu tunggal yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul, beraya di hotel merupakan perkara biasa bagi beliau dan dua anaknya.

“Pada tahun ini saya telah siap tempah hotel di Kuala Lumpur kerana anak-anak saya ingin cuba beraya di sana. Tahun lepas saya bawa anak-anak bercuti dan menyambut 1 Syawal di Pulau Pinang,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Ayer Keroh.

Nurul berkata, beraya di hotel agak meriah kerana biasanya pihak hotel akan menyediakan pelbagai juadah raya seperti lemang, rendang, ketupat dan lain-lain pada pagi raya. – BERNAMA

CATEGORIES