Sarjan tidak mengaku terima suapan

AYER KEROH 27 Feb. – Anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, atas pertuduhan memperoleh suapan RM4,000 membabitkan kes dadah, tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Azani Mohd Khalid, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, didakwa secara rasuah memperoleh suapan iaitu wang tunai sebanyak RM4,000 daripada seorang wanita.
Tindakan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsip iaitu menukar keputusan air kencing seorang individu lelaki yang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada negatif dadah.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Taman Bidara Permai, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, pada jam kira- kira 1.30 petang, pada 9 Oktober 2019.
Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jumlah jaminan RM20, 000 diberikan kepada tertuduh dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dia perlu melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Azrul Zulkifli Strok yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan isteri dan dua anak yang masih bersekolah.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan ke pejabat SPRM dan pasport diserahkan kepada mahkamah.