‘Sebenarnya dah lama runtuh’

‘Sebenarnya dah lama runtuh’

ALOR GAJAH 21 Feb. – Pergerakan kecil tanah runtuh di Taman Sri Naning difahamkan sudah berlaku sejak beberapa bulan lalu namun tiada kerja-kerja membaiki semula tebing dijalankan.

Mangsa terlibat, Mohd Ali Mohd Amin, 50, berkata, tebing tanah berhadapan rumahnya mula runtuh sejak beberapa bulan lalu dan semakin membimbangkan apabila hakisannya sedikit demi sedikit jatuh dari tebing berkenaan.

Beliau yang telah membeli rumah di kawasan berkenaan sejak tahun 1993 mendapati tiada pembinaan pembesaran longkang dilaksanakan yang mungkin menjadi faktor utama kepada insiden berkenaan.

Menurutnya, perkara lebih membimbangkan jika hujan lebat berlaku, saluran air longkang tersebut deras sehingga melimpah ke jalan.

“Apa yang lebih membimbangkan, kebanyakan jiran di sini menghadapi masalah sama apabila air hujan turut melimpahi sehingga ke pekarangan parkir kereta di hadapan rumah.

“Berhubung kejadian tanah runtuh kecil berlaku beberapa bulan lalu, saya dah laporkan kepada pihak terlibat dan mereka telah memanjangkan kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

“Namun, tiada tindakan dilaksanakan walaupun setelah berulangkali pelbagai pihak datang ke sini memantau keadaan tanah di kawasan ini,” katanya ketika ditemui MelakaKini, di sini hari ini.

Pada laporan lalu, sebanyak dua keluarga diarahkan berpindah dan ditempatkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas insiden tanah runtuh berlaku kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Kerja-kerja menyelamat dilakukan semua agensi terlibat, bagaimanapun tiada kecederaan direkodkan dalam insiden tersebut.

CATEGORIES