Sedia beri khidmat terbaik buat AirAsia – Adly


AirAsia tetapkan Melaka sebagai laluan (gambar hiasan).
AYER KEROH 30 Okt. – Kerajaan negeri sedia memberi khidmat terbaik buat Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) yang menetapkan laluannya di negeri ini tahun hadapan.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pada masa sama, kerajaan negeri akan meningkatkan fasiliti sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).
Menurutnya, segala fasiliti perlu berfungsi dengan baik supaya perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada pelancong dan rakyat Melaka.
“Kita sebenarnya sudah ada persediaan, cuma hanya ada beberapa isu lama melibatkan caj penumpang dan sebagainya.
“Kita memang harapkan AirAsia dapat muktamadkan tarikh untuk memulakan penerbangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Penyampaian Bantuan Deepavali JKM 2018 di Pasar Raya Mydin MITC di sini, hari ini.
Ujarnya, pada masa sama, kerajaan negeri juga akan mengambil kira pengangkutan bagi memberi kemudahan kepada rakyat.
“Bila AirAsia memberikan respon kepada kita, ia adalah respon cukup baik, kerajaan negeri akan lihat aspek-aspek yang diperlukan oleh LTAM,” katanya.