Sedia kaji cadangan hukuman bersifat memulih dalam bentuk khidmat masyarakat

Sedia kaji cadangan hukuman bersifat memulih dalam bentuk khidmat masyarakat

AYER KEROH 30 Okt. – Kerajaan negeri sedia mengkaji cadangan hukuman di bawah undang-undang jenayah syariah dengan kaedah hukuman bersifat memulih seperti mengenakan khidmat masyarakat.

Cadangan itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa bagi menyeragam dan menyelaras undang-undang syariah, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, cadangan kepada khidmat masyarakat itu perlu dinilai kerana banyak aspek yang boleh dilihat dan dikaji semula.

Menurutnya, ada sesetengah hukuman dikenakan penjara dalam tempoh yang singkat, justeru khidmat masyarakat itu antara jalan penyelesaian yang baik.

“Kalau kita lihat khidmat masyarakat lebih banyak menghasilkan bantuan. Jadi, saya rasa kesalahan- kesalahan kecil kita boleh pertimbangkan, saya rasa khidmat masyarakat lebih wajar dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Penyampaian Bantuan Deepavali JKM 2018 di Pasar Raya Mydin MITC di sini, hari ini.

Jelasnya, cadangan khidmat masyarakat itu perlu dipertimbangkan kerana ia boleh memberi kesedaran kepada pesalah sama ada dalam atau luar penjara.

“Mereka boleh bantu masyarakat dan paling penting beri kesedaran kepada mereka sama ada dalam atau luar penjara dan mereka boleh memberi khidmat kepada masyarakat.

“Di samping buat khidmat masyarakat, mereka diberi kesedaran supaya tidak ulangi kesalahan itu,” katanya.

Sebelum ini, Mujahid memberitahu Dewan Rakyat bahawa usaha sedang dibuat oleh kerajaan untuk menyeragam dan menyelaraskan undang-undang syariah di seluruh negara.

Hukuman di bawah undang-undang jenayah syariah yang dipinda itu dilakukan dengan kaedah hukuman lebih bersifat memulih di samping menghukum seperti mengenakan khidmat masyarakat.

CATEGORIES