Sedia pulangkan anugerah sekira diarah

Sedia pulangkan anugerah sekira diarah

ANTARA pengamal media yang hadir pada sidang media tersebut.

BANDAR HILIR 17 Okt. – “Saya akur sekiranya Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengarahkan saya memulangkan semula gelaran ‘Datuk’ yang diterimanya pada 13 Oktober lalu,” kata Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew.

Jelasnya, beliau tidak punyai sebarang niat untuk menghina institusi tertinggi di negeri ini termasuk Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob berhubung isu penerimaan anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang menimbulkan kontroversi, baru-baru ini.

Kok Kiew berkata, beliau secara peribadi memohon maaf kepada Mohd Khalil berikutan polemik berhubung penganugerahan darjah tersebut sehingga dilihat boleh mencemarkan imej negeri ini.

“Saya ingin melafazkan taat setia tidak berbelah-bahagi kepada Mohd Khalil dan saya menghormati institusi Raja-Raja Melayu seperti tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya juga mengambil maklum dan akur keputusan pimpinan DAP pusat bahawa semua pimpinan parti tidak boleh menerima apa-apa anugerah pingat dan darjah kebesaran sewaktu berkhidmat,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Bandar Hilir di sini, hari ini.

Kok Kiew yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Dr. Wong Fort Pin adalah dua pemimpin DAP negeri yang dianugerahkan DMSM sempena sambutan ulang tahun ke-80 Mohd Khalil, Sabtu lalu.

Isu itu timbul selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegur sikap pemimpin parti itu yang menerima darjah kebesaran di Negeri Sabah dan Melaka yang membawa gelaran Datuk, sebelum menunjukkan komitmen serta prestasi kepada rakyat.

Menurut Kok Kiew, beliau yang telah menjadi ADUN DAP selama tiga penggal sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) kini menunggu arahan selanjutnya dari CEC parti dan keputusan mesyuarat jawatankuasa dan akan akur jika diminta memulangkan semula darjah tersebut.

CATEGORIES
TAGS