Sedia terima semula ‘bekas pelajar’

Sedia terima semula ‘bekas pelajar’

GAJAH BERANG 22 Jan. – Akademi tempatan yang dilaporkan ‘membuang’ 14 pelajarnya tempoh hari sanggup menerima kesemua mahasiwa terbabit.

Namun, terdapat beberapa pilihan ditawarkan iaitu, membiayai yuran sendiri dengan cara pinjaman bank dan mengeluarkan Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) penjaga, atau bayaran secara tunai secara ansuran bulanan.

Menurut jurucakap pusat pentauliahan Diploma Kemahiran Malaysia bertaraf lima bintang itu, langkah itu telah dimaklumkan kepada pelatih menerusi surat yang dipos pada 21 Januari lalu.

Katanya, penyelesaian alternatif itu dicadangkan supaya kesemua pelajar tahap tiga Diploma Kreatif Multimedia itu mampu melanjutkan pengajian ke tahap empat susulan kekangan dana dari Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

“Memandangkan kami tidak lagi menerima peruntukan daripada PTPK untuk membiayai yuran pelatih melalui pinjaman penuh, kami telah menawarkan pilihan lain untuk membiayai yuran sendiri.

“Iaitu dengan cara pinjaman bank, pengeluaran KWSP ibu bapa mereka atau bayaran secara tunai melalui ansuran bulanan, surat makluman juga telah disediakan pada 16 Januari lalu dan telah dipos pada 21 Januari 2019.

“Isu kekangan dana PTPK telah wujud sejak tahun lepas iaitu ketika pelatih berkenaan sedang mengikuti pengajian Diploma Kreatif Multimedia tahap tiga,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Jelasnya lagi, meskipun berdepan kekangan PTPK, pusat berkenaan telah membenarkan tiga daripada 14 mahasiwa tempoh hari meneruskan pengajian tahap tiga kemahiran sehingga selesai tanpa sebarang bayaran.

“Tetapi, kami tidak lagi berkemampuan membenarkan mana-mana pelatih mengikuti kursus di sini tanpa sebarang pembiayaan, maka dua pilihan menyambung pengajian telah dicadangkan,” katanya.

Mengulas lanjut, kesemua penuntut tempoh hari masih tidak lagi didaftarkan sebagai pelajar rasmi untuk tahap empat pengajian berkenaan di sistem Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan masih merupakan pelajar tahap tiga program itu.

Jurucakap akademi itu berkata, ia susulan sehingga 15 Januari 2019 pihaknya masih belum menerima peruntukan dari PTPK bagi tahun 2019.

“Sekiranya kami meneruskan untuk mendaftar para pelatih tersebut ke tahap empat tanpa persetujuan mereka, ia akan jadi masalah untuk membatalkan dan mendaftarkan semula mereka di mana-mana kolej lain yang mengakibatkan kelewatan dalam pendaftaran semula,” katanya.

Tambah jurucakap itu, pihak akademi sentiasa membuka ruang untuk berbincang bagi menyelesaikan segala permasalahan yang timbul dan tekad mencari langkah terbaik demi pendidikan pelajar.

“Kami mengamalkan penyelesaian secara professional sebagai pusat pendidikan bertauliah dan sedia berbincang bagi mencari penyelesaian kolektif,” katanya.

Tempoh hari ibu bapa dan 14 mahasiwa akademi itu menuntut penjelasan sebenar berhubung status mereka selepas mendakwa dibuang akademi itu semasa hampir menamatkan pengajian.

CATEGORIES
TAGS