Segerakan pemindahan ladang babi berpusat

MASJID TANAH 28 Jan. – Kerajaan negeri disaran menyegerakan perancangan projek pemindahan ladang babi berpusat dengan menggunakan teknologi moden.
Pengarah Pembangunan Kuala Linggi (PKL), Abu Hussain Tamby berharap agar pemindahan ladang babi berpusat menggunakan teknologi Jerman ke Kampung Bukit Beruang itu perlu disegerakan bagi memberi laluan terhadap projek pertanian lain yang akan dibangunkan di Paya Mengkuang.
Katanya, sebanyak 36 pengusaha direkodkan menurun berbanding 90 orang sebelum ini akan berpindah ke kampung berkenaan bagi menutup semua ladang babi yang diternak di Paya Mengkuang.
Katanya, pemindahan itu sekali gus akan mengelakkan pencemaran sisa buangan di Sungai Tuang yang yang semakin merunsingkan, malah kawasan itu turut dicemari pencemaran bau.
Ujarnya, kini sebanyak 40 peratus pengusaha membangunkan ladang itu di kawasan berkenaan telah menurun walaupun sebelum ini dicatatkan ladang babi terbesar di Asia Tenggara direkodkan di Paya Mengkuang.
Menurutnya, perancangan kerajaan negeri sebelum ini mencadangan sistem ladang babi di kawasan itu menggunakan teknologi moden yang mampu membendung segala masalah pencemaran di kawasan berkenaan.
Abu Hussain berkata, urusan pengambilan tanah tersebut perlu dipercepatkan kerana pelbagai pembangunan lain turut akan dibangunkan di kawasan itu termasuk pelabuhan, pertanian, pelancongan serta pelbagai lagi.
“PKL sedia bantu kerajaan menyegerakan perancangan ini, malah pihak kami telah menjalankan kajian di mana teknologi kumbahan dari sistem Jepun boleh digunakan dalam ladang tersebut.
“Kami sedia membentangkan perancangan teknologi Jepun ini kepada kerajaan negeri dan berharap pemindahan ini disegerakan bagi menghilangkan segala pencemaran yang ada.
“Kalau kita guna teknologi ini, ia akan memakan masa setahun setengah untuk dibaik pulih, malah ini akan membantu menaikkan semula pelancongan pantai yang merupakan antara pantai peranginan tumpuan pelancong di negeri ini,” katanya ketika ditemu MelakaKini, baru-baru ini.