Selesai masalah Rimbunan Kaseh sebelum Jun – Adly

AYER KEROH 19 Mac – Kerajaan negeri sedang membuat penilaian semula berhubung tanah yang disediakan bagi Program Rimbunan Kaseh di Serkam dalam menyelesaikan masalah asnaf yang menetap kawasan tersebut.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kerajaan negeri bagaimanapun akan membangunkan semula kawasan itu dengan konsep yang sama, namun perlu mengehadkan jumlah tenaga kerja.
“Dengan keluasan tanah kira-kira 6.07 hektar, selepas membuat penilaian kita dapati hanya 22 orang tenaga kerja saja diperlukan bagi program itu.
“Itupun, memerlukan satu penjenamaan semula dari segi pengurusan pertanian itu sendiri, seperti teknologi baharu, hasil yang dimaksimakan dan penggunaan pekerja dihadkan,” katanya.
Adly berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) pada hari kedua Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14 di Seri Negeri, hari ini.
Terdahulu, Zaidi bertanyakan Adly mengenai status penghuni di Rimbunan Kaseh sama ada mereka terkeluar dari status asnaf setelah bekerja luar dari kawasan tersebut.
Adly menyarankan supaya kaedah perindustrian pemprosesan makanan dilakukan sebelum ia menjadi sektor pertanian.
“Selepas langkah itu barulah kita boleh gunakan 70 pekerja di Rimbunan Kaseh tersebut.
“Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam tempoh terdekat ini mencari jalan supaya mereka yang tinggal di situ, diberi kebenaran untuk bekerja di luar,” katanya.
Katanya, pada masa sama kerajaan negeri cuba menyelesaikan segala permasalahan itu sebelum Jun depan.
“Kita cuba selesaikan sebelum Jun ini, ia bagi membolehkan kita memulakan satu perindustrian baharu.
“Inisiatif ini membantu golongan asnaf tersebut semasa ke semasa,” katanya.
Ujarnya, sektor pertanian itu haruslah satu struktur yang boleh mendapatkan hasil yang tinggi selain mempunyai teknologi yang canggih.