Sembunyi kelahiran bayi, sepasang kekasih didakwa

AYER KEROH 18 Jan.- Sepasang kekasih mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menyembunyikan kelahiran bayi mereka minggu lalu.
Muhammad Siddiq Amran, 20, dan Nur Aryssa Khairul Nizam, 21, mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan cara mengebumikan mayat bayi yang dilahirkan Nur Aryssa yang meninggal dunia sebelum dilahirkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh 13 Januari lalu kira-kira jam 8.30 pagi di sawah padi yang terletak di Bukit Rambai, Batang Tiga.
Kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguambela merayu untuk mengurangkan jumlah jaminan dikenakan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan menetapkan 18 Februari ini sebutan semula kes bagi mendengar laporan sosial dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk keputusan hukuman bagi kedua-dua tertuduh.