Sempena Hari Wanita Sedunia 2019: 300 kuntum bunga diedar

BANDARAYA MELAKA 11 Mac – lebih 300 kuntum bunga ros termasuk tuala sanitari diedarkan kepada pesakit, doktor termasuk kakitangan wanita di Hospital Pakar Putra (HPP) dan Hospital Jasin sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Melaka, Jumaat lalu.
Pengagihan bunga tersebut telah disempurnakan Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong di HPP dan Hospital Jasin selain turun padang mengedarkannya bunga tersebut di sekitar Jalan Ong Kim Wee.
Chee Leong memberitahu, Hari Wanita Sedunia merupakan hari bagi menghargai dan mengiktiraf kejayaan yang diperoleh golongan wanita di seluruh negara tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi sekalipun politik.
“Di kesempatan ini saya mengedarkan bunga yang sememangnya menjadi simbolik dengan wanita, dengan hanya sekuntum bunga, kita dapat berkongsi kegembiraan bersama mereka.
“Ini kerana, golongan wanita perlu dihargai dan dihormati kerana mereka merupakan tulang belakang kepada kejayaan seorang lelaki malah menjadi tunjang kepada memperkasakan sesebuah negara.
“Dengan edaran bunga ini, saya berharap dapat mengembirakan hati mereka di samping dapat beramah mesra dengan pesakit, kakitangan dan juga orang awam,’ katanya.