Semua syarikat GLC di Melaka akan dinilai semula

Semua syarikat GLC di Melaka akan dinilai semula

AINSHAH menerima sijil ISO 9001: 2015 daripada Adly.

AYER KEROH 23 Okt. – Kejayaan dan kegagalan sesebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) itu secara tidak langsung akan memberi kesan langsung terhadap imej Kerajaan Negeri Melaka.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, menyedari akan risiko itu, kerajaan negeri telah mengambil pendekatan untuk menilai semula semua aktiviti bisnes dan pencapaian setiap syarikat GLC di negeri ini.

Menurutnya, penilaian kerajaan negeri terhadap fungsi syarikat GLC sedang diperhalusi dan tindakan penambahbaikan yang perlu diambil akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, pengurusan dan tenaga kerja yang profesional, berpengalaman, berintegriti dan ‘trustworthy’ penting dalam sesebuah syarikat.

Ini kerana katanya, mereka adalah aset tetap yang perlu diberi perhatian serius supaya dapat memacu pertumbuhan syarikat ke tahap yang optimum.

“Kumpulan pengurusan yang diberikan tanggungjawab menguruskan syarikat-syarikat ini mestilah mampu melaksana perkara asas dalam pengurusan syarikat iaitu boleh merancang (planning), mengurus (organizing), mendahului (leading) dan mengawal (controlling),” katanya.

Adly berkata demikian kepada media selepas program Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Roslan Ibrahim.

Pada majlis itu juga Adly turut menyampaikan sijil ISO 9001: 2015 kepada jabatan & agensi terlibat dan menyampaikan sijil pengiktirafan Bintang Petunjuk Prestasi Utama (KPI) HRMIS Tahun 2017.

Adly juga turut menyampaikan Anugerah Geospatial Kebangsaan (ADK2018) keapada PlanMalaysia Melaka dan meyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kecerian Bulan Kemerdekaan 2018 dalam majlis tersebut.

Selain turut menyampaikan sebuah van kepada Tourism Melaka yang disumbangkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi, Perbadanan Melaka Holdings (PMH), Siti Ainshah Osman.

CATEGORIES
TAGS