Senarai hitam kontraktor abai aspek keselamatan

Senarai hitam kontraktor abai aspek keselamatan

AYER KEROH 4 Mac. – Kementerian Kerja Raya akan mengambil tindakan tegas dengan menyenarai hitam kontraktor yang mengambil mudah aspek keselamatan pengguna jalan raya dalam melaksanakan projek-projek insfrastruktur di negara ini.

Timbalan Menterinya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, tindakan tersebut rentetan terdapat beberapa kes kemalangan maut akibat pengurusan trafik yang tidak diselenggara dengan baik.

“Ini kerana ada sesetengah tempat, pengurusan trafik dilihat tidak terurus seperti kekurangan papan tanda, penghadang dan sebagainya yang mana boleh mengancam nyawa pengguna jalan.

“Kontraktor yang tidak mengikut syarat ditetapkan akan dikenakan senarai hitam selain tidak boleh meneruskan projek tersebut dan mereka perlu lepaskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek Menaiktaraf Jalan Ayer Keroh Ke Bandar Melaka (Fasa 1: Persimpangan Peringgit dan MITC) di Jalan Tasik Ayer Keroh, hari ini.

Beliau berkata, pelan pengurusan trafik perlu diberi tumpuan utama khususnya melibatkan pengguna jalan raya.

“Melaka negeri yang boleh dijadikan contoh, walaupun pembinaan dua ‘flyover’ di negeri ini ambil masa yang lama, namun ia mementingkan aspek-aspek keselamatan.

“Justeru, perlu adanya papan tanda yang sempurna di setiap persimpangan atau jejantas bagi memudahkan pengguna tersebut,” katanya.

CATEGORIES