Sentiasa bantu golongan asnaf – Adly

GADEK 5 Jun – Golongan asnaf harus sentiasa dibantu tanpa mengira bangsa dan agama agar mereka tidak merasa disisihkan oleh masyarakat.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, usaha membantu golongan itu harus bersifat berterusan dan bukan hanya dilakukan pada musim perayaan.
Menurutnya, selain kerajaan, beliau berharap lebih ramai anggota masyarakat dan syarikat swasta sudi berganding bahu membela nasib golongan asnaf khususnya sempena Syawal tidak lama lagi.
“Ia satu usaha murni untuk membantu golongan kurang bernasib baik agar mereka boleh meraikan dan menyambut Ramadan serta Syawal ini dengan gembira,” katanya.
Adly berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Dewan Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan (Japerun) Gadek dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen dan ADUn Gadek, Ahad lalu.
Di majlis tersebut juga Adly turut menyampaikan sumbangan kepada 125 orang asnaf.
Turut hadir, Ahli Parlimen Alor Gajah, Mohd Redzuan Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G. Saminathan merangkap Exco Perpaduan, Sumber Manusia, NGO dan Hal Ehwal Pengguna.