Seri Negeri dikawal ketat, ADUN Sungai Rambai turut kelihatan

Seri Negeri dikawal ketat, ADUN Sungai Rambai turut kelihatan

AYER KEROH 25 Feb. – Kompleks Seri Negeri yang menempatkan pejabat Ketua Menteri dan Exco kerajaan negeri, dikawal ketat apabila dijangka akan berlaku perubahan kepimpinan, hari ini.

Selain pemeriksaan oleh pengawal keselamatan di laluan masuk, kelihatan beberapa pegawai dan anggota polis turut berada di luar perkarangan Seri Negeri.

Pihak yang tidak berkaitan turut tidak dibenarkan untuk memasuki ke kawasan Kompleks Seri Negeri.

Adly dijadual mengadakan pertemuan bersama barisan exco kerajaan negeri dan para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Seri Negeri pada hari ini.

Antara yang kelihatan sudah memasuki kompleks pentadbiran itu sebentar tadi ialah Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Exco Kesihatan, Antidadah dan Perpaduan negeri Low Chee Leong.

Yang menarik perhatian media ialah ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman yang turut kelihatan di situ.

Beliau bagaimanapun dilihat meninggalkan Seri Negeri sekitar 30 minit kemudian.

Adly dalam hantaran di laman rasmi Facebook beliau semalam menyatakan bahawa beliau mengutamakan rakyat melebihi diri beliau sendiri dan menzahirkan keyakinan bahawa dengan izin Allah, Pakatan Harapan akan kekal memimpin Melaka.

CATEGORIES