Shoo Chin nekad luang masa bersama rakyat

Shoo Chin nekad luang masa bersama rakyat

AYER KEROH 14 Feb. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin menyifatkan dirinya milik rakyat selepas menyedari tanggungjawab besar di bahunya setelah dipilih sebagai wakil rakyat kawasan tersebut, Mei lalu.

Shoo Chin memperoleh majoriti 14,612 undi daripada keseluruhan 37,355 undi menewaskan Datuk Ng Choon Koon (BN) dan Goh Leong San (Bebas).

Katanya, menyedari kerja hakiki kepada rakyat, beliau sanggup meluangkan majoriti waktunya mendengar permasalahan masyarakat tempatan hingga terpaksa mengadaikan waktu bersama keluarganya.

“Sejak dipilih menjadi wakil rakyat, saya nekad membantu rakyat terutamanya menyelesaikan masalah penduduk tempatan.

“Kalau dulu saya boleh bawa isteri pulang ke rumah mak mentua setiap minggu dan sejak 10 bulan lalu, mungkin dalam tiga kali saja saya bawa isteri berjumpa mak mentua,” katanya pada temu bual radio MelakaFM, hari ini.

Shoo Chin berkata, beliau bernasib baik kerana diberikan isteri yang sangat memahami tugasnya sebagai wakil rakyat.

“Termasuk perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) tahun ini pun, saya hanya meluangkan masa dua hari saja dan mula bekerja pada hari ketiga.

“Isteri saya amat memahami tugas saya kepada rakyat supaya masalah tempatan dapat ditumpukan,” katanya.

CATEGORIES