Shopee beroperasi seperti biasa, sedia bekalan topeng muka

Moga dipermudahkan segala urusan

Shopee beroperasi seperti biasa, sedia bekalan topeng muka

KUALA LUMPUR 18 Mac – Operasi perniagaan Shopee yang juga peneraju platform e-dagang diteruskan seperti biasa walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari pada 18-31 Mac ini, bagi membendung penularan COVID-19.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata kesemua barangan keperluan harian seperti tisu basah, topeng penutup hidung dan muka, cecair pembasmi kuman, minyak masak, makanan dalam tin, kopi, ikan dan sayuran akan terus ditawarkan di platform tersebut.

“Pada masa sama, kami turut bekerjasama rapat dengan rakan kongsi, peruncit, pembekal seperti Mydin, Tesco, Nestle, Aeon Big, Freshtap.my serta lain bagi memastikan bekalan mencukupi untuk menampung keperluan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas Shopee Mart, Ho berkata pihaknya mempunyai simpanan kira-kira 10,000 jenis produk.

“Shopee juga akan mengambil langkah tambahan dengan mengehadkan bilangan barangan keperluan utama yang boleh dibeli oleh setiap pelanggan demi memastikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kedudukan ekonomi, mendapat akses secara adil terhadap barangan tersebut.

“Selain itu, kami akan turut menyediakan perkhidmatan penghantaran pada hari berikutnya di Lembah Klang dan wilayah selatan Malaysia bagi pesanan yang dibuat menerusi Shopee Mart sebelum 10 pagi setiap hari, kecuali Ahad dan cuti umum,” katanya.

Syarikat itu akan turut menyediakan kemudahan penghantaran di seluruh negara secara percuma bagi mengurangkan kos pada tempoh ini, kecuali bagi penghantaran pesanan ke alamat pejabat yang akan dilaksanakan selepas 1 April ini.

— BERNAMA

CATEGORIES