Shuib sertai Hot FM

Shuib sertai Hot FM

PELAWAK dan pengacara popular Shuib Sepahtu meluaskan kerjayanya sebagai DJ Radio baharu di Hot FM bermula semalam.

Suami kepada penyanyi Siti Sarah itu bergandingan bersama Shuk dan Fizie menerajui Geng Pagi Hot (GPH) yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 hingga 10 pagi.

Pemilihan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad bersama stesen itu dilihat sebagai satu tiket untuk merancakkan lagi suasana pagi peminat setia Hot FM.

Ketua Audiens Melayu, Nik Nor Azura Nik Mahmood berkata, Hot FM percaya penyertaan Shuib dalam keluarga mereka bakal memberikan kelainan selain memantapkan lagi barisan DJ sedia ada.

“Langkah ini juga diambil supaya stesen ini terus segar dengan pembaharuan demi pembaharuan dalam usaha mengukuhkan lagi jenama Hot FM dari aspek muzik, hiburan dan pengisian gaya hidup terkini,” katanya.

Selain itu, menerusi GPH, pelbagai pengisian terkini dengan kisah-kisah menarik akan dikongsikan oleh DJ terlibat.

Segmen sedia ada seperti Sketcah GPH, English GPH bersama Teacher Fati, Story Mory Jihan dan Kak Elo masih dikekalkan.

Hot FM turut melakukan rombakan yang EL akan mengendalikan segmen Muzik Hot dari jam 10 pagi hingga 4 petang, manakala Denn dan Haziq akan bergandingan dalam segmen Jam Hot dari jam 4 petang hingga 8 malam.

Zetty yang juga satu-satunya penyampai radio wanita di Hot FM ditugaskan ke udara pada sebelah malam bermula jam 8 hingga 12 tengah malam menerusi segmen Mega Hot.

Kata Nik Nor Azura, rombakan itu juga selaras dengan usia stesen radio itu yang memasuki tahun ke- 13 bersiaran.

“Saya harap pendengar setia kami terbuka dan terus menerima Hot FM sebagai stesen pilihan mereka dengan adanya perubahan lebih segar dan terkini,” katanya.

CATEGORIES