Sijil palsu: ‘kudis’ dalam sistem pendidikan negara

AYER KEROH 11 Feb. – “Isu pemalsuan kualifikasi sijil akademik yang berlaku sejak akhir-akhir ini mencemarkan sistem pendidikan negara,” kata Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi, Noor Effandi Ahmad.
Katanya, perbuatan memalsukan ijazah misalnya merupakan sesuatu yang tidak bermoral.
“Pemimpin perlu berintegriti kerana rakyat mengharapkan kerajaan baharu ini dapat mentadbir dan mengurus negara dengan baik.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana jika pemimpin itu sendiri diragui, apa kelulusannya ataupun tidak berkata benar mengenai status pendidikan dan kualifikasi mereka, bukan sahaja rakyat hilang kepercayaan malah sistem pentadbiran negara akan tergugat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MelakaKini selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi (MiCoST) dengan Kolej Universiti Saito di Seri Negeri, hari ini.
Tambah Noor Effandi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, jika benar pihak yang terbabit memalsukan sijil kualifikasi itu, mereka sepatutnya meminta maaf kepada rakyat dan tidak berdolak dalih.
“Implikasi penipuan sijil dan kecurangan akademik ini boleh menjadi toksik dan meninggalkan ‘kudis’ dalam pandangan rakyat kepada pemimpin, sekaligus rakyat hilang kepercayaan kepada pemimpin,” jelasnya.