Simbah air panas : Suspek wanita ditahan

BANDARAYA MELAKA 4 Feb. – Seorang wanita berusia 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan kejadian simbah air panas ke atas seorang lelaki di Pangsapuri Ayer Keroh Height, semalam.
Ketua Polis daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 26 tahun melecur di anggota badan.
“Akibatnya, mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka (HM),” katanya kepada media.
Afzanizar berkata, kejadian dipercayai berlaku di rumah pangsapuri tersebut didiami wanita terbabit.
“Mangsa sudah tinggal di situ sejak tiga bulan lalu dan polis masih menyiasat motif kejadian serta hubungan antara mangsa dan wanita terbabit,” katanya mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
“Mangsa kebetulan terjumpa seorang lelaki di lokasi kejadian dan meminta bantuan untuk membawa dia ke hospital sebelum membuat laporan polis kira-kira jam 12 tengah hari.
“Individu terbabit (lelaki) mendakwa didatangi mangsa dalam keadaan tidak memakai baju dengan kesan melecur pada badan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.