Sindiket wang palsu dicekup polis

Sindiket wang palsu dicekup polis

JASIN 28 Feb. – Dua lelaki ditahan polis kerana menjalankan kegiatan pecah rumah di daerah berkenaan telah membawa kepada penangkapan sindiket pemalsuan wang.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, kegiatan mereka tumpas selepas dicekup polis di Bemban pada 15 Januari lalu.

“Kedua-dua suspek berusia 18 dan 21 tahun ditahan susulan laporan diterima berkaitan kejadian pecah rumah di Taman Kesang Damai melibatkan kerugian RM1,400 dan mereka telah ditangkap pada hari sama.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati mereka aktif dalam aktiviti memalsukan wang dan diburu polis sejak 2017,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, semalam.

Kata Arshad, suspek dipercayai mensasarkan penduduk kampung dan golongan berusia.

“Mereka menawarkan tiga keping wang kertas RM100 berjumlah RM300 kepada RM100 wang asli tanpa disedari mangsa.

“Suspek juga membuat cubaan memasukkan wang palsu itu ke dalam mesin deposit tunai,” katanya hasil siasatan, kedua-dua suspek punyai rekod jenayah selain positif dadah.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 kanun yang sama.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, Arshad berkata, empat lelaki berusia antara 44 hingga 53 tahun ditahan membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1956.

“Semua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan iaitu tiga suspek pada 16 Februari di Kampung Gaung dan seorang lagi pada 25 Februari di Kampung Ulu Duyong.

“Rampasan membabitkan 85 gram heroin, dua gram syabu dan 15.3 gram morfin yang semuanya bernilai RM3,000,” katanya.

CATEGORIES