SK Tun SAS anjur sarapan, solat Hajat & bacaan Yassin pada hari pertama UPSR

SK Tun SAS anjur sarapan, solat Hajat & bacaan Yassin pada hari pertama UPSR

GURU betugas memberi kismis kepada Mohd Aidil yang patah tangan sebelum menghadapi peperiksaan tersebut.

AYER KEROH 24 Sept. – “Yakin dan tawakal kepada Allah SWT selepas berusaha gigih dan hari ini adalah masanya, anak-anak akan menduduki peperiksaan,” pesan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin, Mohd Arif Yusa.

Pesanan itu adalah buat calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah berkenaan pada hari pertama peperiksaan yang bermula hari ini.

Beliau hadir ke sekolah meluangkan masa setengah jam bagi memberikan kata-kata semangat kepada 176 murid Tahun 6 yang menduduki kertas peperiksaan Bahasa Malaysia (BM), Pemahaman & Penulisan mulai jam 8.15 pagi

Menurut Arif, pihak sekolah dan PIBG juga mengadakan program solat Hajat dan bacaan Yassin disertai ibu bapa yang berkelapangan bermula hari pertama UPSR sehingga Khamis ini sebagai usaha terakhir memperoleh kejayaan anak-anak mereka.

“Bacaan Yassin ini pendekatan memohon keberkatan Allah SWT setelah anak-anak mereka belajar selama enam tahun di samping bertawakal supaya peroleh kecemerlangan 6A UPSR tahun ini.

“Program disertai kira-kira 50 ibu bapa di surau sekolah tersebut merupakan ikhtiar selain memberi motivasi kepada anak-anak supaya dapat menjawab kertas peperiksaan pada hari ini dan berikutnya.

“Selain itu, pihak sekolah dan PIBG juga menyediakan kelengkapan alat tulis, sarapan dan minuman berkhasiat kepada anak-anak sepanjang empat hari menghadapi peperiksaan ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Mohd Aidil Affendy Bakri yang patah tangan kanan akibat bermain kasut roda menduduki peperiksaan sama di bilik kuarantin dengan seorang guru pembantu yang akan menulis jawapan mewakili pelajar terbabit.

Mohd Aidil berkata, dia terbabit kecederaan itu pada minggu lalu sewaktu bermain bersama rakan-rakan dan sepatutnya perlu berada di hospital bagi mendaptkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, ibu bapa dan pihak sekolah membuat permohonan kepada pihak Jabatan Pendidikan supaya saya dibenarkan keluar hospital bagi menghadapi peperiksaan pada hari ini.

“Saya memang menulis menggunakan tangan kanan, namun disebabkan masalah ini, saya tidak dapat menulis dan akan dibantu oleh seorang guru pembantu,” katanya.

Bagi ibu kepada salah seorang calon UPSR sekolah itu, Yusnita Yunus, 38, berkata, dia hadir ke sekolah bersama rakannya sejak awal pagi menemani dan memberi sokongan kepada anak mereka.

“Harapan kami, dengan usaha ini dan doa berterusan, anak-anak kami diberi kekuatan mengingati ilmu pengetahuan dipelajari dan menterjemahkan ia menerusi jawapan dengan sempurna,” katanya.

CATEGORIES