SKRCB tampil idea ‘patriotik’

SKRCB tampil idea ‘patriotik’

SEBAHAGIAN guru yang terlibat dalam pertandingan tersebut.

MASJID TANAH 20 Sept. – Pelbagai cara digunakan oleh rakyat negara ini dalam menzahirkan semangat menyambut Hari Kemerdekaan Negara.

Ini termasuklah inisiatif Sekolah Ramuan China Besar (SKRCB) mengadakan penutup Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia dalam suasana penuh warna-warni.

Tanpa mengira peringkat umur, SKRCB tampil dengan idea yang pelbagai, tetapi matlamatnya adalah sama iaitu untuk membangkitkan semangat patriotik dan rasa cinta kepada negara.

Wakil Penyelaras DUN Ayer Limau, Mohd Rodzi Mat Rejab berkata, usaha itu dilihat memberi semangat kepada anak-anak supaya cintakan negara.

“Pertandingan Basikal Patriotik dan Pakaian Seragam Jalur Gemilang berjaya menyerlahkan semangat patriotisme dalam kalangan murid-murid dari pra sekolah hingga Tahap 6.

“Kerjasama ibu bapa yang mengeluarkan belanja dan berkongsi idea bagi menzahirkan semangat cinta kepada negara amat mengagumkan,” katanya.

Justeru, Mohd Rodzi berharap pertandingan itu diteruskan dan sentiasa diberi nilai tambah agar generasi baru lebih menyayangi negara mereka.

“Begitu juga dengan kesepakatan guru-guru SKRCB yang menggayakan pakaian bertemakan warna Jalur Gemilang cukup memikat hati murid-murid.

“Inilah contoh teladan terbaik yang perlu kita terapkan antara satu sama lain,” katanya.

Pertandingan Basikal Patriotik telah dijuarai oleh Ahmad Fauzan Abu Bakar.

Hadir sama, Guru Besar SKRCB, Normah Awal dan Yang Dipertua PIBG SKRCB, Ramli Manap.

CATEGORIES