SMF Induction Day UiTM mampu lahir pemimpin pelajar holistik

SMF Induction Day UiTM mampu lahir pemimpin pelajar holistik

JASIN, 21 Mac. – Kira-kira 300 pelajar diploma dan ijazah sarjana muda dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Univerisiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin menyertai program Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) Induction Day di kampus berkenaan, baru-baru ini.

Program anjuran SMF di bawah fakulti berkenaan dirasmikan Dekan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Prof. Madya Dr Asmah Awal.

Presiden SMF merangkap Ketua Projek, Ahmad Lukman Rusli berkata, program yang diadakan merupakan hari pengenalan kelab dan persatuan yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar untuk mengasah bidang kepimpinan mereka dalam menerajui kelab yang ada di Fakulti Perladangan dan Agroteknologi.

Menurut Ahmad Lukman, dengan adanya program dan persatuan itu, ia dapat menjadikan pelajar FPA sebagai pelajar yang holistik dalam pelbagai bidang yang diceburi sama ada akademik mahupun kokurikulum.

“Aktiviti kepimpinan bukanlah untuk kegunaan hari ini, malah ia memberi impak yang positif kepada setiap pelajar dalam membentuk modal insan yang berjaya di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian, Asmah berkata, di era serba maju dan mencabar ini, peranan pelajar yang melibatkan diri dalam persatuan amat penting dalam melahirkan mahasiswa minda kelas pertama menjelang 2050.

“Untuk mendapatkan pelajar yang cemerlang dari segi HPNG iaitu 3.5 dan ke atas sangat ramai dan yang menjadi perbezaan antara setiap pelajar ialah penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum.

“Ini termasuklah penyertaan pelajar bergiat aktif dalam kelab berpersatuan di peringkat fakulti mahupun di peringkat universiti sendiri, agar hasrat dan matlamat untuk melahirkan mahasiswa minda kelas pertama menjelang 2050 dapat dicapai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam melahirkan mahasiswa ke arah keterangkuman pelajar atau “students empowerment”, mahasiswa dan mahasiswi pada hari ini perlu lebih bergiat dan mampu untuk menguruskan organisasi kelab dan juga persatuan.

Hadir sama pada program itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Nordiana Ibrahim dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri, Dr. Shamsiah Abdullah.

CATEGORIES