SMK Durian Tunggal pacu budaya sekolah tanpa beg plastik

DURIAN TUNGGAL 5 Mac – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal antara institusi pendidikan di negeri ini yang membudayakan sekolah tanpa beg plastik dan penyedut minuman.
Pengetuanya, Paridah Omar berkata, seawal tahun 2019, SMK Durian Tunggal sudah mula mengamalkan budaya tanpa plastik dan penyedut minuman berasaskan plastik.
Katanya, inisiatif itu dilihat sebagai satu langkah untuk mengubah sikap pelajar dan guru di sekolah tersebut seiring dengan matlamat negeri Melaka tanpa beg plastik.
“Untuk itu, seawal tahun ini, pihak koperasi sekolah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM3,000 untuk menaja bekas makanan buat seluruh warga sekolah.
“Semua pelajar dan seluruh warga sekolah akan menggunakan bekas makanan tersebut ketika proses jual beli di kantin sekolah dan koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Program Santai Hijau Eco-Schools di SMK Durian Tunggal, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; Exco Kerja Rata, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab dan Pengarah Pendidikan Melaka, Abu Bakar Sahari.
Jelasnya, SMK Durian Tunggal telah diiktiraf sebagai sekolah hijau selepas menerima anugerah Green Flag Program Eco Schools sekali gus menjadikan sekolah tersebut antara sekolah cemerlang kokurikulum terbaik dalam Melaka.
Tambah Paridah, sekolah itu dilihat mampu untuk terus melestarikan alam sekitar dan membuat keputusan untuk menyertai program Eco-Schools pada 2018 seterusnya dinobat sebagai salah sebuah sekolah bertaraf ‘green flag’.
“Pelajar bersama guru-guru sekolah ini telah berjaya mengatasi isu alam sekitar yang terdapat di sekolah dengan membina pelan tindakan.
“Pihak sekolah turut membuat sendiri 126 meja pelajar dari papan-papan dinding yang terpakai bagi mengatasi masalah kekurangan meja pelajar di awal tahun akibat peningkatan pelajar di sekolah ini,” jelasnya.