Social Innovation dekatkan pelajar dengan komuniti

BANDARAYA MELAKA 8 Mac – Program Social Innovation (SI) mendidik pelajar berkomunikasi dengan komuniti, sekali gus membentuk sikap tanggungjawab dalam diri mereka.
Ia dilaksanakan oleh Inkubator Aircond & Electrical (A&E) dan Electrical Engineering Students Society of Melaka Polytechnic (EESTEC) JKE Politeknik Melaka (PMK).
Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Zahidi Zamzuri berkata, program itu dapat membentuk kecemerlangan, sekali gus melahirkan graduan yang holistik.
“Kita mengalu-alukan permintaan komuniti terutama masjid-masjid yang perlukan perkhidmatan teknikal.
“Pelajar kita dilatih dengan kerja-kerja tersebut atas permintaan luar, kebanyakan mereka punyai sijil kecekapan kemahiran (SKK) tahap 2 bagi pemasangan udara dan pengudaraan mekanikal,” katanya.
Katanya, program itu banyak memberi kemahiran teknikal kepada pelajar politeknik khususnya pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Melaka.
“Mereka memang didedahkan dengan kerja-kerja luar dan melalui program seperti ini mereka dapat merasai alam pekerjaan yang sebenar,” katanya.
Program tersebut diadakan di Masjid Al-Ukhwah, Kampung Padang diketuai Penasihat EESTEC, Ahmad Syukri Mohamed Yunus dan Penyelaras Inkubator A&E PMK, Mohd Aly Rajaie Halim.
Hadir sama, imam Masjid al-Ukhwah Kampung Padang, Jahiri Ahmad.