Sokong laporan kepada SPRM – Zulkifli

Sokong laporan kepada SPRM – Zulkifli

SUNGAI UDANG 24 Sept. – “Saya menyokong sepenuhnya tindakan dibuat Pengarah Baharian Operasi RELA, Mohamad Razib Buhaini yang mewakili jabatan itu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rabu lalu,” kata Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin.

Menurutnya, laporan kepada SPRM itu penting kerana pihaknya tidak mahu insiden sebegitu beerulang lagi.

Zulkifli berkata, mengikut rekod, tiga anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) cedera selepas mendakwa dipukul seorang lelaki berstatus ‘Datuk Seri’.

Kejadian itu berlaku ketika anggota RELA sedang bertugas di sebuah tokong dekat Kampung Baru pada 27 Oktober 2018, ketiga-tiga mereka membuat aduan kepada Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam serta polis.

“Pendirian kita tetap sama, laporan dibuat kerana khuatir ada unsur rasuah di sebalik penarikan laporan polis itu oleh seorang dari tiga anggota yang dicederakan.

“Mungkin banyak pihak tidak memahami tugasan anggota RELA dan apabila anggotanya bertugas, dalam akta sendiri sudah tertulis mereka sebagai penjawat awam dan bagi individu yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas boleh diambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, pada 31 Oktober tahun lalu juga, empat anggota RELA termasuk tiga yang dicederakan membuat laporan kepada SPRM berkaitan cubaan sogokan bagi menutup kes terbabit.

Bagaimanapun, pada 7 September lalu, Mahkamah Majistret Ampang melepas tanpa membebaskan seorang ahli perniagaan yang mendakwa dirinya Datuk Seri dari dua tuduhan mencedera dan menyerang anggota RELA yang bertugas tahun lalu.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memaklumkan, seorang dari tiga mangsa dalam kes itu, menarik balik laporan polis terhadap Liow Soon Hee, 30.

Ketika prosiding, Norhashimah berkata, pengadu, Melvin Cheong Mun Khai, 22, menarik balik laporan berikutan sudah memaafkan tertuduh.

CATEGORIES
TAGS