SOPMA XX : Melaka sasar 5 terbaik

SOPMA XX : Melaka sasar 5 terbaik

KONTINJEN OKU Pekak Melaka bergambar bersama Roslan Marina, Kamarzaman dan Umar di Kompleks Belia dan Sukan sebelum berlepas ke Ipoh untuk menyertai SOPMA XX 2019, hari ini.

KONTINJEN Sukan Orang Pekak Malaysia Ke-20 (SOPMA XX) Melaka menyasarkan kedudukan lima terbaik pada SOPMA XX yang berlangsung dari 15 hingga 20 Oktober ini di Ipoh, Perak.

Kedudukan lima terbaik itu berdasarkan pencapain lalu di mana kontinjen SOPMA Melaka tidak pernah berada di bawah kedudukan tersebut sejak ia diperkenalkan pada 1985.

Sasaran pingat yang dijangka mampu diraih atlet Melaka ialah pada acara badminton, tenpin boling dan futsal.

Sehubungan itu, kerajaan negeri sangat mengharapkan semangat yang tinggi dari atlet yang menyertai kontinjen Melaka pada SOPMA XX kali ini agar dapat membawa pulang pingat.

Pencapaian kedudukan lima terbaik itu dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Roslan Ibrahim berdasarkan pencapaian terdahulu di Kuching, Sarawak dua tahun lalu dan kontinjen SOPMA Melaka tiada halangan merealisasikan hasrat tersebut.

“Bagaimanapun, kita rasa terkilan kerana seorang atlet badminton Melaka, Boon Wei Ying tidak dibenarkan beraksi oleh pihak jawatankuasa SOPMA kerana dia merupakan pemegang pingat Sukan Olimpik Bagi Orang Pekak (Deaflympics) yang diadakan di Samsun, Turki, baru-baru ini.

“Apapun, atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi acara badminton dalam kontinjen SOPMA Melaka yang telah diberi tanggungjawab ini mampu memdapatkan pingat untuk Melaka menerusi acara perseorangan lelaki, berpasukan lelaki, regu campuran dan berpasukan,” jelasnya.

Roslan berkata demikian kepada MelakaKini selepas Majlis Serah Bendera kepada Kontinjen OKU Pekak Melaka yang akan menyertai SOPMA Ke-20 (SOPMA XX) di Ipoh, Perak di Kompleks Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, Marina Nafi; Presiden Sukan Orang Pekak Malaysia, Kamarzaman Harun dan Ketua Kontinjen OKU Pekak Melaka, Umar Yusop.

Seramai 39 atlet OKU Melaka akan membawa cabaran pada SOPMA XX 2018 akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga 20 Oktober 2018.

Kontinjen Melaka menyasarkan empat pingat emas, empat perak dan empat gangsa pada SOPMA XX kali ini.

CATEGORIES
TAGS