SPRM masih menunggu kertas siasatan SFO terhadap AirAsia dan Airbus

SPRM masih menunggu kertas siasatan SFO terhadap AirAsia dan Airbus

PUTRAJAYA 12 Feb. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menunggu dokumen-dokumen tertentu daripada pejabat Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom, berikutan dakwaan rasuah yang mengaitkan dua eksekutif AirAsia dan pengeluar kapalterbang Airbus.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkta suruhanjaya itu perlu melihat beberapa dokumen tertentu sebelum mengambil keputusan memanggil pembuat keputusan utama di AirAsia dan AirAsia X.

“Tiada tempoh waktu ditetapkan bagi kami untuk menerima dokumen itu dari SFO,” kata Latheefa ketika ditemui selepas menghadiri Simposium Mengarusperdanakan Gender dan Memperkasa Wanita bagi Memerangi Rasuah, di sini hari ini, tanpa menjelaskan lebih lanjut berhubung dokumen yang dimaksudkannya.

Airbus baru-baru ini dilaporkan telah membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi bagi membiayai satu pasukan sukan yang dikaitkan dengan “pembuat keputusan utama” di AirAsia dan AirAsia X.

Sementara itu merujuk kepada rakaman audio kontroversi yang didedahkan oleh SPRM bulan lepas, Latheefa berkata suruhanjaya itu juga telah memulakan siasatan yang berkaitan dengan penyalah gunaan kuasa.

Beliau berkata SPRM telah membuka siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung penyalah gunaan kuasa, yang akan disiapkan dalam tempoh “seminggu atau dua”.

“Hasil siasatan akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara,” katanya.

Ditanya sekiranya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad akan dipanggil, Latheefa said penyiasat SPRM sudah mengenal pasti mereka yang perlu dipanggil, namun beliau tidak boleh mendedahkannya.

“Saya serahkan kepada penyiasat-penyiasat kita untuk menyiasat, namun pada dasarnya saya dapat merasakan siapa yang akan dipanggil nanti,”katanya.

Pada 8 Jan lepas SPRM mendedahkan beberapa siri rakaman audio yang memaparkan perbualan yang dikatakan antaranya mengandungi maklumat yang bocor dari pejabat Peguam Negara kepada Najib semasa beliau menjawat jawatan perdana menteri.

— BERNAMA

CATEGORIES