SRA JAIM Ujong Padang siap sepenuhnya tahun depan

MASJID TANAH 10 Mac – Pembinaan sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ujong Padang di sini, yang dijangka beroperasi tahun depan bakal memberi keselesaan murid kawasan berkenaan.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ketika ini sekolah bangunan dua tingkat yang meliputi enam bilik darjah berkenaan, masih dalam pembinaan kira- kira 34 peratus dan ia dijangka siap pada September ini.
“Pembinaan sekolah baharu ini mampu memberikan suasana kondusif kepada murid di sekitar kawasan ini dalam mendapatkan pendidikan agama.
“Kita jangkakan sekolah ini akan beroperasi pada tahun hadapan apabila ianya siap sepenuhnya bersama kemudahan fasiliti lain termasuk perabot dan pelbagai lagi untuk kemudahan murid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MelakaKini selepas mengadakan lawatannya di Tapak Pembinaan Baharu SRA JAIM Ujong Padang, di sini, petang semalam.
Pada program sempena Lawatan Ketua Menteri ke DUN Tanjung Bidara itu, pelbagai lokasi turut dikunjungi beliau demi menyantuni rakyat di kawasan berkenaan.
Antara lokasi yang dikunjungi termasuk Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Masjid Pengkalan Balak serta beberapa tempat yang lain.