SSM lahir usahawan muda melalui YPGO!

SSM lahir usahawan muda melalui YPGO!

DURIAN TUNGGAL 21 Feb. – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) komited perhebat kerjasama bersama pelbagai pihak bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda dari institut pengajian tinggi (IPT) menerusi program Youngpreneurs GO! (YPGO!).

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab berkata, jalinan kerjasama terbabit termasuk dari agensi di bawah kerajaan negeri, pemain industri pelbagai bidang dan sebagainya.

Beliau berkata, usaha berterusan yang dijalankan berkenaan sekali gus menyahut hasrat kerajaan untuk golongan muda mencipta peluang pekerjaan melalui perniagaan berbanding hanya mencari peluang pekerjaan dalam industri.

“Pada karnival hari ini, SSM memberi tumpuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang penipuan dalam periagaan atas talian melalui slot ‘Scam Alert’ bagi memastikan mereka tidak mudah terpedaya.

“Diharap segala perkongsian yang diberikan dapat membantu pelajar-pelajar untuk bergelar usahawan sekali gus meningkatkan ekonomi negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival YPGO! di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, hari ini.

Tambahnya, sehingga kini sebanyak 1,403 perniagaan yang berdaftar di bawah SSM BizTrust sejak diperkenalkan pada 2017.

“SSM Biz Trust menyediakan peluang kepada usahawan online untuk mendapatkan pensijilan biztrust melalui logo (trustmark) yang dipaparkan dalam laman web perniagaan mereka bagi mendapatkan keyakinan pelanggan,” katanya.

CATEGORIES