SUKMA 2018: Petanque hadiahkan emas buat Melaka

SUKMA 2018: Petanque hadiahkan emas buat Melaka

 

KHAIRUL Amirul bergambar selepas merangkul pingat emas.

BANDAR HILIR 18 Sept. – Khairul Amirul Zamrulhisham berjaya merangkul pingat emas bagi acara petanque Sukan Malaysia, Perak (SUKMA 2018) di Arena Petanque Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

Kejayaan Khairul Amirul, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak itu, sekali gus mengharumkan nama Melaka.

Kemenangan Kategori Perseorangan Lelaki itu, sekali gus mengalahkan pihak lawan dari Negeri Sembilan yang mendapat pingat perak, manakala gangsa dimiliki Negeri Perak.

Perlawanan penuh aksi ini menyaksikan pada ‘end’ terawal Khairul Amirul ketinggalan 0-4, tetapi terus mengejar pihak lawan hingga mata 9-4.

Kedudukan genting apabila pihak lawan terus menunjukkan prestasi baik hingga berjaya merapatkan jurang memperolehi mata ke sembilan.

Namun, Khairul Amirul bangkit dan terus melakukan balingan yang konsisten dan akhirnya menewaskan pihak lawan dengan bilangan mata 13 berbalas 9.

Hadir menyaksikan perlawanan, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Khamis Abas bersama Institut Pengurusan dan Integriti Melaka (INSPIM) yang menghantar pegawai mereka untuk memberikan sokongan.

Penyampaian hadiah disempurnakan Pemangku Presiden Persatuan Petanque Melaka, Halim Maidin.

Terdahulu, Khamis berkata, mengikut rekod SUKMA Sarawak 2016, sukan petanque Melaka hanya memenangi satu pingat gangsa.

 

KHAMIS bergambar bersama pegawai dan atlet pada Sukan Malaysia, Perak (SUKMA 2018) di Arena Petanque Kuala Kangsar, baru-baru ini.

CATEGORIES