Sukan tahunan SKRCB latih murid disiplinkan diri

Sukan tahunan SKRCB latih murid disiplinkan diri

MURID-murid bergambar bersama selepas perasmian Sukan Tahunan Ke-34 SKRCB, baru-baru ini.

MASJID TANAH 24 Okt. – Sukan Tahunan Ke-34 Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar (SKRCB) platform melatih murid-murid mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.

Pengarah Urusan Exxec Intergrated (M) Sdn. Bhd., Datuk Abdul Razak Yaakup berkata, murid yang cemerlang perlu aktif dalam kegiatan kokurikulum dan memiliki disiplin diri yang tinggi.

Menurutnya, sukan merupakan landasan terbaik bagi melahirkan pelajar cergas dari segi fizikal dan mental selain mendidik mereka memiliki semangat juang tinggi dalam mencapai kejayaan.

Katanya, kecergasan dari segi fizikal, mental serta kesungguhan merupakan elemen utama untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dalam bidang pendidikan.

“Ia juga berupaya merapatkan hubungan dalam kalangan pelajar, guru dan ibu bapa, sekali gus meningkatkan kerjasama antara semua pihak,” katanya selepas merasmikan Sukan Tahunan Ke-34 SKRCB di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, aktiviti kesukanan tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya diberi perhatian seiring dengan akademik.

“Justeru, saya mengajak semua pihak agar memupuk aktiviti kesukanan dari peringkat awal persekolahan dalam usaha melahirkan modal insan yang berjaya.

“Ibu bapa perlu memberi sokongan moral kepada anak untuk menyertai aktiviti kokurikulum anjuran pihak sekolah,” katanya.

Pada sukan tahunan itu, sebanyak lima rumah terlibat iaitu Rumah Hang Tuah (Merah), Hang Jebat (Hijau), Hang Lekir (Biru) dan Hang Lekiu (Kuning).

Hadir sama, Guru Besar SKRCB, Normah Awal; Yang Dipertua PIBG SKRCB, Ramli Manap dan lain-lain jemputan.

CATEGORIES