SUKMA 2018: Kerajaan negeri umum insentif lumayan buat atlet, jurulatih dan pengurus

SUKMA 2018: Kerajaan negeri umum insentif lumayan buat atlet, jurulatih dan pengurus

CHEE YEE mengumumkan insentif lumayan kepada atlet, jurulatih dan pengurus pasukan yang meraih pingat pada temasya Sukma 2018 di Perak pada sidang media di pejabat MSN Melaka, sebentar tadi.

KERAJAAN Melaka memperuntukkan RM200,700 kepada 54 atlet dan 16 jurulatih termasuk pengurus kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 yang membawa pulang pingat.

Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee yang juga ‘Chef de Mission’ negeri itu berkata, insentif berkenaan sebagai suntikan awal supaya atlet kekal memberikan hasil cemerlang seterusnya menghadiahkan kejuaraan terhadap Melaka pada masa akan datang.

Beliau berkata, pemenang pingat emas akan menerima wang tunai RM5,000 bagi atlet individu, RM2,500 bagi atlet beregu, RM2,000 bagi atlet bertiga dan berempat serta RM1,000 bagi atlet berpasukan.

Katanya, manakala, atlet yang meraih pingat perak menerima wang tunai RM3,000 bagi atlet individu, RM1,500 bagi atlet beregu, RM1,500 bagi atlet bertiga dan berempat serta RM750 bagi atlet berpasukan.

Menurutnya, diikuti, gangsa RM1,500 kepada atlet individu, RM800 bagi atlet beregu, RM800 bagi atlet bertiga dan berempat serta RM500 bagi atlet berpasukan.

“Majlis penyerahan akan diadakan dalam masa terdekat, edisi Sukma kali ini amat menyentuh hati saya kerana atlet banyak meletakkan masa untuk menghadiahkan sesuatu kepada negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MelakaKini (MK) di pejabat MSN negeri, sebentar tadi.

Dalam pada itu, berhubung kecemerlangan prestasi atlet pada edisi kali ini, Chee Yee turut mengumumkan penambahan insentif menggunakan peruntukan portfolio beliau iaitu tambahan RM1,000 kepada jurulatih dan tambahan RM500 kepada pengurus pasukan.

“Insentif ini diberikan bagi menghargai usaha mereka melahirkan atlet yang cemerlang.

“Selain sokongan ibu bapa, kedua elemen ini juga memainkan peranan penting,”katanya.

Dalam pada itu, Melaka akan mengembleng usaha membangunkan atlet cemerlang pada edisi Sukma Johor 2020.

“Tempoh masa dua tahun ini kita akan buat persediaan dan memberikan fokus kepada aspek pembangunan sukan.

“Kerana, melalui Sukma 2018 ini kita dapat melihat beberapa pencapaian baharu dicapai menerusi bidang sukan yang tidak disasarkan,”katanya.

CATEGORIES
TAGS