Sumbangan TBC : Penerima gembira bantuan ringankan beban

AYER KEROH 28 Jan. – Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2019,
menzahirkan rasa gembira kerana kerajaan negeri prihatin terhadap nasib mereka.
Seorang penerima, Chua Bee Neo, 55, berkata, dia yang pertama kali menerima sumbangan itu berasa sangat bersyukur.
Menurutnya, wang tersebut akan digunakan untuk membeli keperluan sempena TBC yang akan menjelang.
“Saya tak boleh kerja, sudah tiga tahun guna kerusi roda sebab kaki masuk besi 13 tahun lalu.
“Bila dapat bantuan ni, memang saya seronok sangat. Bolehlah beli barang lain tanpa meminta dari anak-anak atau saudara,” katanya.
Bagi Wong Poh Chin, 74, dia yang tinggal bersama suaminya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana tidak melupakan golongan warga emas sepertinya.
“Ada rasa senang sikitlah tahun ini. Ini kali pertama saya dapat bantuan dan wang tersebut memang digunakan untuk membeli barang TBC saja,” katanya.
Sementara Tong Kiang Meng, 66, berkata, dia terharu kerana kerajaan negeri memberikan sumbangan tidak mengira bangsa dan warna kulit.
“Saya tinggal seorang, hari ini datang pun kawan yang bawa. Terima kasih kepada Ketua Menteri kerana memberikan peluang kepada saya dan kawan-kawan untuk berkongsi nikmat yang diberikan
kepada kami,” katanya.
Terdahulu, sejumlah RM150,000 diperuntukkan bagi 750 penerima bantuan JKM sempena TBC 2019 di negeri ini.
Bagi fasa pertama, sumbangan diberikan kepada 385 penerima yang merupakan golongan warga emas, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam daerah Melaka Tengah.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, penyampaian sumbangan ini merupakan inisiatif kerajaan negeri membantu golongan kurang bernasib baik khususnya warga Tionghua meraikan perayaan
dengan lebih gembira.
“Ia juga diharapkan dapat meringankan beban mereka untuk membeli keperluan perayaan yang bakal tiba.
“Selain itu, kita akan sentiasa memantau jumlah penerima dari semasa ke semasa bagi memastikan golongan kurang bernasib baik ini terus mendapat pembelaan,” katanya.
Beliau berkata demikan pada Majlis Penyampaian Bantuan Perayaan Tahun Baharu Cina 2019 di Dewan Seri Bendehara di sini, Sabtu lalu.
Bagi daerah Alor Gajah dan Jasin, penyampaian sumbangan akan dijalankan secara berperingkat di daerah terbabit.
Hadir sama, Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Ginie Lim Siew Lin dan Pengarah JKM negeri,
Burhanuddin Bachik.