Sumber air mentah di Melaka cukup

Sumber air mentah di Melaka cukup

DURIAN TUNGGAL 7 Mac – Sumber air mentah di Melaka mencukupi bagi menampung kapasiti permintaan air harian rakyat di negeri ini.

Tahap paras air di semua empangan di Melaka turut berada dalam keadaan terkawal walaupun cuaca kering berikutan taburan hujan yang kurang. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, paras air empangan di Melaka belum mencapai tahap kritikal. 

Katanya, paras air di ketiga- tiga empangan melebihi 60 peratus dan tidak kritikal, namun kaedah untuk bersiap siaga menghadapi penurunan tahap paras air kritikal di empangan sudah dipersiapkan. 

“Paras air di Empangan Durian Tunggal setakat ini mencatatkan sebanyak 63.7 peratus, manakala paras air di Empangan Jus sebanyak 85.4 peratus dan Empangan Asahan sebanyak 78.3 peratus air. 

“Saya akan sntiasa memantau paras air ketiga-tiga empangan dan beberapa kaedah atau langkah sekiranya menghadapi keadaan kritikal sudah direncanakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di sini, pagi tadi. 

Selain dari kaedah yang direncanakan, kerajaan negeri mempunyai sumber- sumber lain untuk mengalirkan air ke empangan bagi mengelakkan penurunan air di paras kritikal. 

Tambah Mohd Sofi, antaranya dengan mengalirkan air dari Sungai Melaka, Sungai Gemas, Sungai Kesang dan Sungai Batang Melaka ke empangan Berkaitan terus ke loji-loji air terbabit sekiranya keadaan kritikal.

“Apabila keadaan kritikal, tahap paras air berada kurang dari 40.5 peratus akan kita laksanakan langkah segera.

“Saya harap dalam keadaan menghadapi musim kemarau ini, diharapkan seluruh warga Melaka berjimat cermat dalam penggunaan air bagi memastikan tahap paras air terus stabil,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS