Sungai Melaka fasa 2 mula selepas peralihan kuasa

AYER KEROH 18 Mac. – Kerja- kerja membangunkan Sungai Melaka Fasa 2 akan dijalankan sebaik sahaja proses penyerahan kuasa pengambilalihan dilaksanakan.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, proses pengaambilalihan itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Malah katanya, kerajaan negeri turut memulakan projek terbabit sejurus selesai siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes salah guna kuasa membabitkan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM).
“Pembangunan ini bukan sahaja mampu mempertingkatkan pelancongan negeri malah ia membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk sekitar.
“Jadi, kita harap JPS dan SPRM dapat menyelesaikan masalah ini agar kita dapat bangunkan produk pelancongan negeri yang perlu dimajukan, kerana ramai rakyat negeri ini tidak sabar untuk melihat kemajuan pembangunan Sungai Melaka,” katanya pada Persidangan Pertama Sidang Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke 14 di Seri Negeri di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Jailani (PH-Rembia) turut menjawab soalan tambahan Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) yang menanyakan berhubung pelaksanaan kerja- kerja penambahbaikan tersebut.
Berhubung projek itu, pesisiran Sungai Melaka merupakan antara lokasi pelancongan utama di negeri ini melibatkan laluan pejalan kaki sepanjang 4.5 kilometer, manakala pembangunan Sungai Melaka fasa kedua melibatkan jarak penambahbaikan sejauh 5 kilometer.
Projek naik taraf pembangunan atau pemanjangan fasa Sungai Melaka tidak dapat dilaksanakan walaupun perancangannnya sebelum ini pernah diumumkan oleh kerajaan terdahulu.
Pada masa sama, Muhammad Jailani berkata, projek itu akan dimulakan tidak lama lagi dengan mewujudkan Bandar Warisan Melayu di pesisir sungai berkenaan.
“Pelaksanaan projek pembangunan fasa kedua ini akan dibuat menerusi kerjasama pintar dengan agensi-agensi swasta, namun, jika perlu dibuka tender, kita akan buka.
“Bagaimanapun, tergendalanya perancangan pembangunan fasa kedua Sungai Melaka ini tidak merencatkan kempen Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019 kerana fasa ini tidak dimasukkan TMM sebaliknya akan dimasukkan dalam perancangan Tahun Melawat Malaysia 2020,” jelasnya.