Sungai Melaka fasa-2: PPSPM rencana sukan air tarik pengunjung

Sungai Melaka fasa-2: PPSPM rencana sukan air tarik pengunjung

PERINGGIT 19 Mac – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) merancang pelbagai aktiviti bagi menarik kedatangan pelancong di sekitar Sungai Melaka Fasa-2 walaupun kawasan terbabit belum lagi beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Azlan Abidin berkata, Sungai Melaka Fasa-2 sepanjang tiga kilometer itu akan memulakan operasi sepenuhnya pada Ogos depan.

Sebagai permulaan jelasnya, sukan air antara aktiviti yang direncanakan akan diadakan selepas Aidilfitri nanti.

“Usaha ini sejajar dengan matlamat PPSPM yang mensasarkan sejumlah 1.5 juta penumpang yang akan menyusuri Sungai Melaka mengunakanMelaka River Cruise pada tahun ini bersempenaTahun Melawat Melaka (TMM) 2019.

“Ini sekali gus dapat membantu kerajaan negeri yang mensasarkan jumlah kedatangan pelancong ke Melaka seramai 20 juta pada tahun ini,” katanya.

Azlan berkata demikian kepada media sempena Program Khidmat Sosial Korporat (CSR) PPSPM Pembersihan Sungai Melaka Fasa-2 di Peringgit, Ahad lalu.

https://t.me/melakakinidotmy

Gotong- royong terbabit turut disertai pelajar- pelajar Kolej Profesional MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Kolej Komuniti Bukit Beruang, Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), SWCoRP, Giat MARA, Jabatan Pertahanan Awam (JPM) dan Jabatan Pengairan dan saliran (JPS) termasuk warga PPSPM yang melibatkan lebih 120 penyertaan bagi membersihkan sekitar Sungai Melaka Fasa-2 ini yang merangkumi jarak hampir tiga kilometer.

Dalam pada itu, Azlan memberitahu, bagi menjayakan sasaran 1.5 juta pengunjung yang menaiki Melaka River Cruise, PPSPM akan menganjurkan peraduan ‘Cruise n Win’ di mana pengunjung yang membeli tiket bernilai RM200 ke atas layak untuk menyertai peraduan tersebut.

“Kita menyediakan hadiah utama berupa sebuah kereta selain 10 hadiah misteri.

“Manakala, harga tiket Melaka River Cruise dengan jarak perjalanan 20 kilometer yang memakan masa hampir dua jam itu akan kekal untuk tempoh lima tahun akan datang walaupun kita dikenakan SST,” jelasnya.

 

CATEGORIES