Sungai Udang lokasi pertama bina Stesen WTE

SUNGAI UDANG 25 Feb.- Kerajaan memberi saranan dalam tempoh dua tahun menjelang tahun 2020, setiap negeri perlu mewujudkan satu Stesen ‘Waste To Energy’ (WTE) bagi mengatasi masalah pelupusan sampah di tapak yang terbuka.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata Sungai Udang akan menjadi tapak pertama peralihan dari tapak pelupusan sampah secara terbuka kepada Stesen WTE.
“Pembinaan stesen WTE ini lebih ke arah membina sistem pelupusan yang lebih berteknologi tinggi, bersih, mampan dan sekaligus dapat menjana pendapatan.
“Bagi pembinaan projek ini juga, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuka tawaran kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk membina Stesen WTE melalui tender terbuka atau pembentangan kertas cadangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Tey Kok Kiew.
Tambahnya, apabila Stesen WTE itu sudah siap, pungutan sampah akan berjalan seperti biasa bagi tempoh enam bulan sebelum menukar kaedah pungutan sampah seiring dengan kemajuan Stesen WTE.
“Dengan pembinaan Stesen WTE ini, pelbagai teknologi boleh diintegrasi dari sampah, sebagai contoh sampah lebihan pembinaan, sampah pokok-pokok yang ditebang, plastik dan pelbagai lagi,” jelasnya.