Suntik vaksin: Jakim bantu KKM, KPM

Suntik vaksin: Jakim bantu KKM, KPM

AYER KEROH 7 Mac – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan dua kementerian mengenai kajian mewajibkan suntikan vaksin kepada kanak- kanak yang memasuki sesi persekolahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fauziah Salleh berkata, Jakim akan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung cadangan itu bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Baru-baru ini terdapat beberapa pelajar yang meninggal dunia berpunca dari jangkitan difteria kerana tidak mengambil suntikan vaksin.

“Jika dilihat dari sudut maqasid syariah, ia membahayakan nyawa orang lain. Kita perlu buat satu dasar mewajibkan (vaksin) tetapi memerlukan fatwa dan kajian yang sedang dibuat Jakim,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian penutup Town Hall Maqasid Syariah Peringkat Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Adly Zahari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan dan lain-lain kenamaan.

Kenyataan Fauziah itu bagi mengulas cadangan KKM baru-baru ini mengenai cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan kepada murid bersekolah.

CATEGORIES
TAGS