Suspek utama kumpulan Vickey diburu – Polis

JASIN 28 Feb. – Seorang lelaki dipercayai dalang utama kes samun berkumpulan dan bersenjata, kumpulan ‘Vickey’ diburu polis bagi membantu siasatan kes samun melibatkan wang tunai RM40,000 di Bemban di sini, 13 Febuari lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, suspek, G.Viknaeswaran, 26, dipercayai masih berada di negeri ini.
Menurutnya, dalam kejadian samun itu, seorang wanita bekerja sebagai kerani di sebuah pejabat timbang kelapa sawit didatangi dua lelaki menaiki motosikal dan memakai topi keledar kira-kira jam 3 petang.
“Seorang dari mereka bersenjatakan parang masuk ke dalam premis terbabit dan mengacukan parang kepada mangsa.
“Dia kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai dan kerana ketakutan, wanita itu telah menyerahkan sejumlah RM40,000 yang baru dikeluarkan dari bank sejam sebelum kejadian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jasin, semalam.
Kata Arshad, proses pengecaman suspek telah dilakukan dan hasil pengecaman, polis telah menahan rakan Viknaeswaran berusia 27 tahun di Tanjung Minyak kira-kira 2.30 petang 19 Februari lepas.
“Polis turut merampas wang tunai RM3,000 dipercayai disamun dari wanita terbabit dari suspek yang ditahan,” katanya.