Syarikat swasta & individu dipelawa taja haiwan – Adly

AYER KEROH 14 Feb. – Syarikat swasta dan individu dipelawa menaja haiwan dan kemudahan yang terdapat di Zoo Melaka dan Night Safari.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia melalui Program Tajaan Haiwan dan Kemudahan di Zoo tersebut yang bakal dilaksanakan.
Menurutnya, ia memberi peluang kepada individu, orang awam, badan korporat atau agensi yang berminat memilih seekor atau sekumpulan haiwan untuk ditaja.
“Program tajaan ini membabitkan 60 daripada 84 pameran haiwan yang ada.
“Mereka yang berminat boleh menaja perkhidmatan berkaitan serta kemudahan lain seperti landskap, papan tanda, pondok rehat, perkhidmatan trem dan lain-lain,” katanya.
Adly berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Adly memberitahu, kerajaan negeri memperuntukkan bajet tambahan kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi membiayai kos operasi Zoo Melaka dan Taman Burung tahun 2019.
Mengikut rekod bermula 2015 sehingga 2018, Zoo Melaka dan Night Safari mencatatkan seramai 445,445 kedatangan pengunjung setahun.