Syukur terima rumah mampu milik – penerima

Terima kasih kerajaan negeri

Syukur terima rumah mampu milik – penerima

BERTAM 3 Feb – “Sebelum ini kami menyewa, alhamdulillah adanya Rumah Mampu Milik (RMM) ia dapat memberi kelegaan kepada keluarga selepas ini,” kata Mohd Izuwan Mohd Ali,31, baru-baru ini.

Mohd Izuwan merupakan penerima RMM di Taman Bertam Setia bersyukur memiliki rumah tersebut dengan harga yang berpatutan pada usia muda.

“Sebelum ini saya sewa RM450 sebulan di Bukit Rambai, sekarang dah ada rumah sendiri kena bayar bulanan pun rasa sangat berbaloi tambahan pula isteri seorang suri rumah.

“Alhamdulillah, struktur binaan rumah sangat selesa sesuai untuk keluarga kecil kami,” katanya yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di negeri ini.

Seorang lagi, Mohd Rafiq Mohd Nasir,38, pula berkata, inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri mampu membantu golongan berpendapatan sederhana.

“Syukur alhamdulillah, kalau ikutkan zaman sekarang kita tak dapat harga macam ni, jadi inisiatif ini sangat bagus.

“Projek seperti ini perlu diteruskan lebih-lebih lagi bagi golongan yang berpendapatan rendah, selepas ini bolehlah isteri serta tiga anak saya tinggal di rumah sendiri,” katanya yang bekerja di sektor telekomunikasi maklumat (IT).

Sementara itu, Muhammad Sollehin Hamzah,34, berkata rumah pertamanya itu memberi sinar baharu buat isteri dan anak-anaknya.

“Jika dilihat harga rumah di Melaka, kita masih mampu memilikinya berbanding bandar-bandar besar yang lain.

“Mereka yang layak jangan lepaskan peluang untuk miliki RMM ini, bukan hanya harga yang berpatutan malah reka bentuknya juga menarik,” katanya.

CATEGORIES