Tabung Amanah Nelayan akan ditubuhkan

Tabung Amanah Nelayan akan ditubuhkan

KUALA LINGGI 23 Jan. – Kerajaan Negeri Melaka akan menubuhkan Tabung Amanah Nelayan dan ianya diusulkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) nanti.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee berkata, tabung berkenaan akan ditubuhkan bagi memberi kemudahan kebajikan nelayan negeri ini khususnya bantuan bagi nelayan yang ditimpa bencana.

Katanya, tabung itu akan diperuntukkan daripada pampasan aktiviti penambakan laut bernilai RM200,000 yang dijadikan ‘petty cash’ dalam tabung berkenaan.

Jelasnya, nilai tersebut akan disimpan di dalam tabung berkenaan dan akan memudahkan peruntukan sekiranya terdapat permasalahan dihadapi nelayan.

Menurutnya, melalui cara demikian, ianya akan memudahkan bantuan untuk disalurkan buat nelayan melalui kerajaan negeri tanpa perlu mendapat pengesahan daripada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan bantuan.

“Saya akan usulkan perkara ini pads MMKN yang akan diadakan nanti dan perkara ini merupakan perkara yang paling penting dalam menjaga kebajikan nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pemantauan segera terhadap beberapa bot nelayan rosak di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah LKIM Melaka, Rosli Mustapa; Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Melaka Barat, Sukri Abadi serta tetamu lain.

Sementara itu, Norhizam berkata sebanyak lima bot pancung dan sebuah tongkang menghadapi kerosakan akibat dilanda ribut beberapa hari lalu.

Katanya, nelayan kawasan itu menghadapi beberapa kerosakan termasuk lantai bot, enjin sangkut, pukat serta pelbagai lagi selepas kejadian berkenaan.

“Setiap nelayan tersebut telah diberikan sumbangan melalui Persatuan Nelayan negeri dengan sumbangan sebanyak RM200.

“Bantuan susulan akan diberikan kerajaan negeri apabila nelayan tersebut membuat laporan polis dengan menyenaraikan kerosakan yang dihadapi bagi memudahkan proses menyalurkan bantuan dari kami,” katanya.

CATEGORIES
TAGS