Tabung Harapan: Rakyat Malaysia ibarat ‘jutawan patriotik’

Tabung Harapan: Rakyat Malaysia ibarat ‘jutawan patriotik’

 

KUALA LUMPUR 18 Jun — Rakyat Malaysia memang bersifat dermawan dan ini terbukti apabila begitu ramai yang tampil untuk menghulurkan sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia (THM)

Kerajaan melancarkan tabung berkenaan bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan dalam usaha mengurangkan beban hutang negara.

Tidak kiralah sama ada individu perseorangan mahupun syarikat, pendek kata kesanggupan rakyat merentas pelbagai strata masyarakat demi untuk kepentingan negara.

Sehingga 3 petang 17 Jun, jumlah kutipan THM ialah RM74,695,510.12

Menyifatkan perkara itu sebagai bukti bahawa majoriti rakyat Malaysia prihatin dan berjiwa patriotik, Prof Madya Dr Nurhaizal Azam Arif, Pensyarah Perniagaan Antarabangsa dan Firma Multinasional di Hiroshima City University, Jepun, berkata ia pada masa yang sama boleh dikaitkan dengan istilah ‘Patriotic Millionaires’.

“Di Amerika Syarikat (AS), gelaran ‘Patriotic Millionaires’ diberikan kepada golongan yang sanggup membayar cukai lebih atau membuat sumbangan kewangan bagi membantu mengurangkan ketidaksamarataan dalam masyarakat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

INISIATIF RAKYAT

Mengulas lanjut beliau berkata melihat daripada keperluan sudut ekonomi, negara masih mampu mencari pendapatan bagi mentadbir dan membayar hutang malah perkara itu dapat dilihat daripada penarafan yang diberikan oleh ‘Credit Rating Agency’ antarabangsa seperti ‘Fitch’ yang meletakkan Malaysia berada dalam kategori A- dan ‘prospek masa depan’ yang stabil.

Namun, THM yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Mei lepas bertitik tolak daripada inisiatif rakyat sendiri yang menyuarakan hasrat untuk membantu kerajaan dan negara.

“Ia kemungkinan tercetus daripada rasa simpati rakyat terhadap kerajaan atas beberapa faktor seperti penetapan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar yang mungkin dilihat oleh golongan berkemampuan sebagai langkah yang akan mengurangkan pendapatan negara.

“Di samping itu, rakyat juga mungkin mahu membantu menyelesaikan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tanpa membazirkan wang cukai hasil pendapatan negara,” katanya.

Antara contoh tabung bersifat inisiatif rakyat yang telah ditubuhkan ialah di Korea Selatan pada 1998 dan AS yang menubuhkan tabung ‘gift to reduce the public debt’ pada penghujung 2000 malah berterusan hingga kini.

Rakyat Malaysia juga sewaktu menuntut kemerdekaan negara sanggup berkorban dengan menyumbang antaranya barang kemas bagi tujuan perbelanjaan delegasi kemerdekaan ke London.

Menyentuh mengenai dakwaan segelintir pihak bahawa THM hanya mewujudkan tekanan malah bersifat paksaan kepada rakyat, beliau berkata perkara itu seharusnya tidak menjadi polemik kerana ia bermula dari kehendak majoriti rakyat sendiri.

“Tidak timbul isu (tekanan dan paksaan kepada rakyat) pun sebab ia terpulang kepada mana-mana individu untuk menderma atau tidak. Perdebatan seperti ini juga sebenarnya turut berlaku di AS kerana ada pihak yang menyokong, ada pihak yang menentang, bergantung kepada hujah dan perspektif masing-masing,” katanya.

Turut ditanya mengenai peranan kerajaan apabila rakyat secara terbuka rela membantu demi kebaikan negara Nurhaizal Azam berkata kehendak utama masyarakat hari ini adalah soal ketelusan dan integriti di mana rakyat memerhati dan menilai kerajaan.

“Periksa dan imbang dapat berlaku dengan ketelusan maklumat sekaligus melancarkan proses pemerintahan negara. Jika kerajaan berterus terang, kepercayaan dan keyakinan rakyat akan lebih tinggi dan secara tidak langsung akan melahirkan rakyat yang patriotik dan mempunyai semangat sanggup berkorban demi negara,” katanya.

TABUNG POLITIK

Berkongsi pandangan, penganalisis politik Md Shukri Shuib berpendapat adalah lebih baik sekiranya THM diletakkan di bawah pengurusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau dipantau oleh Parlimen melalui satu jawatankuasa khas di kalangan ahli dewan.

Melalui kaedah itu, ia dapat mengelakkan tanggapan bahawa THM hanyalah sekadar tabung politik yang bersifat ‘sensasi’ semata-mata di samping dalam tempoh beberapa tahun akan datang objektifnya boleh ditambah baik demi kebaikan rakyat dan negara.

Md Shukri pada masa sama berkata, faedah potongan cukai yang diberikan kepada penderma ibarat ‘satu di balas satu’ namun pada masa sama dibimbangi sengaja dijadikan alternatif kepada LHDN.

“Aspek percukaian penting dalam membina keutuhan sistem ekonomi domestik. Justeru, kajian berhubung had tertentu pelepasan cukai harus diteliti semula,” katanya sambil menambah penubuhan THM juga diharap bukanlah hanya ‘gimik politik’ kepada rakyat.

Meskipun isu hutang negara ketika ini sedang menjadi tumpuan ramai pihak, beliau berkata kerajaan perlu memastikan agar rakyat tidak jemu dengan perkara itu.

“Pakatan Harapan kini adalah kerajaan dan mesti fokus kepada keperluan serta kebajikan rakyat bukan lagi bermain dengan sentimen politik,” jelasnya.

GENERASI MUDA

Sementara itu, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata penubuhan THM secara tidak langsung turut menyumbang kepada rasa tanggungjawab di kalangan generasi muda yang sebelum ini mungkin tidak ambil kisah perihal isu negara.

Ia pada masa sama membuatkan rakyat berfikir mengenai apa yang boleh disumbangkan kepada negara berbanding hanya mengharapkan kerajaan memberi sesuatu kepada mereka.

“Namun begitu, walaupun dana yang disalurkan kepada kerajaan bersifat seperti derma-derma lain yang tidak seharusnya mengharapkan balasan, kerajaan tetap memikul tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat termasuk mewujudkan suasana aman damai di negara ini.

“Ia selaras dengan mandat yang telah diberikan rakyat kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas,” katanya.

Seorang pekerja swasta Faizul Akmal Hassan, 39, pula berpendapat bukan THM yang membentuk rasa cinta dan semangat patriotik rakyat tetapi semangat untuk sama-sama membantu memberikan yang terbaik kepada negara itu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

“Tanggungjawab rakyat bukanlah sekadar bergelar jaguh siber sebaliknya perlu membantu memulihkan imej negara Islam yang bebas rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

“Saya berharap kerajaan baharu ini di bawah pimpinan Dr Mahathir akan sentiasa mendengar, membela dan menjadi harapan baru kepada rakyat,” katanya yang turut menderma kepada THM.- BERNAMA

CATEGORIES