Taekwondo Korea Selatan : Tiga atlet UTeM pamer aksi cemerlang

Taekwondo Korea Selatan : Tiga  atlet UTeM pamer aksi cemerlang

PARA atlet UTeM bergambar bersama sebelum berlepas ke Seoul.

PERTANDINGAN Taekwondo Peringkat Antarabangsa Terbuka di Korea Selatan telah menyerlahkan tiga atlet taekwondo Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mempamerkan aksi cemerlang, baru-baru ini.

Ketiga-tiga atlet terbabit merupakan jemputan oleh Persatuan Taekwondo Korea : ChungNam Taekwondo Association dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Melaka di bawah program Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Barisan atlet taekwondo UTeM berpeluang berentap di Seocheon, ChungcheongNam-do, Korea selama lima hari bersama atlet taekwondo dari lima buah negara lain seluruh dunia iaitu Indonesia, India, Jepun, Kazhasktan, Turjikistan.

Pengarah Pusat Sukan UTeM, Dr. Rosli Saadan berkata, tiga atlet UTeM telah merasai pengalaman sebenar menjalani latihan bersama pasukan antarabangsa.

Di samping membiasakan diri dengan latihan intensif sebelum menyertai pelbagai kejohanan besar yang lain.

Menurutnya, menerusi pertandingan itu, para atlet dapat melihat perbezaan pengalaman, mental, fizikal dan kemahiran dalam skala yang luas.

Katanya, menerusi pengalaman ini, ia dapat membantu pasukan membuat keputusan yang betul dan bijak ketika dalam pertandingan dengan cara memerhatikan setiap langkah yang diambil mereka dalam pelbagai situasi pertandingan.

Dua dari tiga atlet yang mewakili UTeM iaitu Hamdanwahid Rinaldi dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dan Nor Aidil Hafiz Abdul Karim dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) meraih pingat gangsa bagi Kategori Welter Weight Sparring dan Kategori Fin Weight Sparring.

Manakala Muhammad Marzuqi Malek dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) sekadar berpuas hati apabila meraih tempat di suku akhir Kategori Light Weight Sparring.

Bagaimanapun, Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Mohd Ridzuan Nordin berharap peluang seperti ini akan dapat diperolehi pada masa akan datang.

Ujarnya, ia sebagai usaha berterusan bagi membantu atlet-atlet memiliki daya saing yang tinggi untuk terus beraksi hebat di peringkat dunia.

Beliau juga berharap agar pihak penganjur sudi memanjangkan jemputan semula untuk pertandingan itu bagi menambah pengalaman dalam sukan ini kepada para pelapis acara sukan tersebut.

CATEGORIES