Taiwan tonjol kemampuan Melaka di pentas dunia

Taiwan tonjol kemampuan Melaka di pentas dunia

MOHD Fariz menerima cenderahati daripada Kuang Fu selepas mengakhiri kongres tersebut.

PENGHU 2 Okt. – Delegasi Kerajaan Melaka yang melawat Penghu, Taiwan sempena Kongres Sedunia Ke-14, berjaya menonjolkan jenama Melaka dalam kalangan 40 penyertaan yang mewakili bandar utama masing-masing.

Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama dengan mempromosikan sektor pelancongan melibatkan kedua-dua destinasi bersesuaian dengan visi Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam industri pelancongan dan perkhidmatan di negeri bersejarah ini.

Perbincangan antara wakil Kerajaan Negeri Melaka dan Datuk Bandar Penghu, Chen Kuang Fu, antara lain membincangkan usaha sama menjalin kerjasama selanjutnya di antara kedua-dua kerajaan bagi meningkatkan industri pelancongan tempatan.

Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Sungai & Pantai Melaka (PPSPM), Mohd Fariz Mohd Ali berkata, pihaknya mendapat pendedahan di sana dalam usaha mentransformasikan Sungai Melaka menjadi pusat tarikan untuk industri pelancongan tempatan.

“Menerusi projek pembersihan dan pengindahan Sungai Melaka sepanjang 9.7 kilometer ini, ia dapat direalisasikan sebagai ikon pelancongan lestari terkenal dan dapat sambutan menggalakkan dari pengunjung.

“Daripada 3,000 pelawat pada tahun 2006, PPSPM akhirnya berjaya mengembangkan operasi apabila memperkenalkan produk Melaka River Cruise (MRC) yang kini muncul sebagai produk utama pelancongan Melaka.

“Ianya menerusi aktiviti menyusuri Sungai Melaka yang menerima lebih dari 1.2 juta pelawat pada 2017,” ulas Mohd Fariz mengenai kejayaan MRC dalam sektor pelancongan Negeri Melaka di hadapan delegasi tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNMM) Ir. Ridhuan Affandi Abu Bakar pula berkongsi bersama delegasi mengenai pendekatan strategik Melaka ke arah menjadi negara mapan, rendah karbon dan mesra alam.

Ujarnya, Kerajaan Negeri Melaka ada hasrat untuk melancarkan destinasi eko-pelancongan dan pemeliharaan hidupan laut serta aspek persekitaran ekologi laut dan kesannya buat pelancongan Melaka.

“Selain itu, kerajaan juga akan menumpukan aspek dengan pembangunan pengurusan air yang cekap, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan hijau dan menangani masalah alam sekitar,” katanya mengenai isu dibentangkan dalam kongres yang berakhir, semalam.

CATEGORIES