Taman Rimbunan Kaseh akan dibangun semula

SERKAM 22 Feb. – Taman Rimbunan Kaseh yang dilihat terbiar sejak sekian lama akan dibangunkan semula oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bermula Jun depan.
Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, usaha positif itu bagi memastikan tanah milik MAIM berkeluasan kira-kira 14.164 hektar dapat dimanfaatkan dan tidak terus menjadi projek ‘gajah putih’ sehingga boleh merugikan pelbagai pihak.
Menurutnya, Taman Rimbunan Kaseh yang diwujudkan bermatlamat membantu meningkatkan taraf hidup golongan sasar dengan menyediakan peluang pekerjaan dan tempat tinggal.
“Transformasinya akan dilaksanakan pertengahan tahun ini dan kita akan terus memberi fokus kepada golongan asnaf. Terdapat juga cadangan untuk mempelbagaikan sektor di atas tanah pertanian itu selain mengekalkan yang asas seperti projek pertanian dan perikanan.
“Usaha yang kita lakukan itu bagi membantu kira-kira 70 keluarga asnaf yang masih tinggal di sana dan sebanyak 29 kediaman yang kosong pula kita akan lihat keperluan yang ada.
“Apa yang penting kita mesti memanfaatkan dana rakyat yang telah digunakan selama ini,” katanya kepada media ketika melawat Taman Rimbunan Kaseh di Serkam, di sini, hari ini.
Mohd Sofi yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berminat untuk membangunkan kawasan itu dengan menghantar proposal untuk dipertimbangkan.
“Setakat ini belum ada lagi syarikat yang berbuat demikian namun terdapat syarikat yang berminat seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang sedang mencari tanah untuk membangunkan sektor pertanian di negeri ini.
“Yang penting asnaf yang ada akan dikekalkan dan kemungkinan juga kita boleh bangunkan produk halal di sini agar golongan itu terus memperolehi pendapatan menerusi projek berkenaan seperti sebelum ini,” katanya.