Tambah baik sektor pelancongan : Melaka bantu PekanBaru

PEKANBARU (INDONESIA) 12 Feb. – Pemerintah Kota PekanBaru, Provinsi Riau berharap kerjasama dengan kerajaan Melaka dalam membantu menambah baik sektor pelancongan dapat menambah peluang pekerjaan penduduknya.
Menurut Wali Kota PekanBaru, Dr. Firdaus ST.MT, ia berikutan sektor berkenaan antara peluang yang dilihat mampu membantu menambah baik sumber pendapatan ekonomi negara itu.
Jelasnya, sebelum ini Riau merupakan penyumbang utama pendapatan ekonomi Indonesia melalui sektor minyak dan gas, namun kini sektor itu tidak lagi boleh dijadikan sektor utama.
Justeru katanya, Indonesia perlu mencari sumber baharu bagi menjamin pendapatan negara demi kelangsungan hidup generasi akan datang.
“Provinsi Riau kita beri sumbangan 50 peratus dari minyak Indonesia, kemudian kita juga punyai kebun sawit dan kebun getah terluas di Indonesia.
“Ini juga tidak boleh kita jadikan sumber pendapatan yang kekal, maka sumber pendapatan baharu adalah pariwisata (industri pelancongan).
“Kami menyedari bila dibandingkan pendapatan tahunan dalam bidang pariwisata antara Indonesia dan Malaysia, kita jauh tertinggal.
“Indonesia hanya peroleh pendapatan 50 peratus dibandingkan dengan pendapatan Malaysia itu sendiri,” katanya.
Firdaus berkata demikian kepada media selepas sesi dialog bersama Exco Pelancongan, Warisan & Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis, malam Isnin lalu.
Turut hadir dalam sesi dialog tersebut, Pengurus Besar PPSPM; Azlan Abidin dan wakil-wakil jabatan dari kedua-dua negara di PekanBaru.
Ekoran itu kata Firdaus, buat permulaan pihaknya melaksanakan kerjasama dengan Melaka melalui Perbadanan Pembangunan Sungai & Pantai Melaka (PPSPM) bagi menjadikan Sungai Siak di PekanBaru seperti ‘Waterfront City di Sungai Melaka.
Beliau berharap dalam tempoh masa yang singkat, sektor-sektor pelancongan yang sedang ditambah baik dengan bantuan Melaka nanti, mampu menarik kehadiran pelancong ke ibu negeri Riau ini.